
Majlis Apresiasi dan Sambutan Persaraan YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin
“Statistik hanya benar-benar bernilai apabila digunakan dan dimanfaatkan berulang-kali.” - YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin
Pada 30 September 2026, Khazanah Research Institute (KRI) mengadakan Majlis Apresiasi dan Sambutan Persaraan YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin @dr_uzir sebagai tanda penghargaan atas sumbangan, sokongan dan kerjasama beliau sepanjang perkhidmatan dalam bidang statistik dan pembangunan data negara.
Majlis ini turut menjadi ruang untuk KRI mengenang kembali kerjasama terjalin antara KRI dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang ketika itu diterajui Dato’ Sri, telah membuka ruang kepada perkongsian data, pengetahuan, kepakaran dan penyelidikan antara kedua-dua organisasi.
Antara perjalanan yang dikongsikan pada petang tersebut ialah koleksi penyelidikan The State of Households (SOH) 2014–2024, yang dibentangkan oleh Dr Suraya Ismail bersama pasukan penyelidik KRI. Pembentangan ini menyoroti perkembangan SOH sepanjang tempoh tersebut serta bagaimana data dan statistik membantu membentuk pemahaman yang lebih mendalam tentang keadaan isi rumah di Malaysia.
Sesi diteruskan dengan perkongsian buku “36 Tahun Mencorak Statistik, Mengukir Legasi Bitara: Angka Membentuk Negara, Nilai Membentuk Manusia” oleh Dato’ Sri. Perkongsian beliau membawa hadirin menyelusuri pengalaman dan perjalanan beliau dalam bidang statistik, serta peranan data dalam membantu kita memahami dan membentuk negara.
Sebagai simbolik kepada perkongsian ilmu dan hubungan yang telah terjalin, sesi pertukaran koleksi laporan SOH 2014–2024 dari KRI dan buku terbaru nukilan Dato’ Sri turut diadakan.
Lebih daripada sekadar meraikan persaraan, majlis ini menjadi kesempatan untuk KRI mengucapkan terima kasih atas sumbangan jasa Dato’ Sri dalam memperkasakan statistik negara.
Terima kasih Dato’ Sri atas segala perkongsian dan sumbangan sepanjang perjalanan ini. Semoga legasi yang ditinggalkan terus memberi manfaat, dan semoga hubungan yang telah terjalin akan terus kekal.
Selamat bersara, Dato’ Sri.







.jpg)
Want more stories like these in your inbox?

.jpg)