
Pada tahun 2025, Malaysia sekali lagi memegang tampuk Pengerusi ASEAN—buat kali kelima dalam sejarah. Kali ini, ia bertepatan dengan ulang tahun ke-70 Persidangan Bandung 1955, satu detik bersejarah yang menyatukan solidariti Afro-Asia dalam menentang penjajahan dan imperialisme. Namun ironisnya, pada tahun yang sama, pentadbiran Presiden Trump mencetuskan ‘perang perdagangan’ terhadap seluruh dunia—termasuk pulau-pulau terpencil yang hanya dihuni penguin—sekali gus menyingkap wajah sebenar sistem kapitalis global yang masih terikat pada warisan kolonial dan dominasi imperialis yang dipimpin oleh Amerika Syarikat.
Dalam konteks ini, timbul satu persoalan penting: apakah makna kenetralan ASEAN dalam zaman imperialisme yang terang-terangan sebegini?
Sebelum Asia Tenggara diisytiharkan sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) pada tahun 1971, Malaysia terlebih dahulu mencadangkan agar rantau ini diiktiraf sebagai wilayah bebas dan berkecuali semasa Persidangan Negara-Negara Berkecuali di Lusaka pada tahun 1970. Persidangan Lusaka tersebut merupakan sidang kemuncak ketiga bagi Gerakan Negara-Negara Berkecuali, sebuah gagasan yang ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1961 dan berasaskan sepuluh prinsip yang digariskan dalam Persidangan Bandung—yang turut dikenali sebagai Dasasila Bandung.
Dalam wacana kenetralan, istilah ini boleh ditafsir dalam dua cara: pertama, sebagai “kebebasan daripada campur tangan kuasa luar”, dan kedua, sebagai “tidak memihak dalam persaingan kuasa luar”. Ralf Emmers, seorang Profesor Perhubungan Antarabangsa (kini di School of Oriental and African Studies), menamakan tafsiran pertama sebagai “autonomi”, dan yang kedua sebagai “ketidakberpihakan”. Menurutnya, kenetralan ASEAN pada era Perang Dingin lebih cenderung kepada makna autonomi, namun sejak tahun 2000-an, ia telah beralih kepada konsep ketidakberpihakan.
Namun, pemahaman baharu yang mentafsir kenetralan sebagai ketidakberpihakan semakin dikritik kerana dilihat gagal menangani realiti pertembungan kuasa besar, khususnya dalam konteks perang perdagangan global antara Amerika Syarikat dan China. Seperti yang ditegaskan oleh Virdika Rizky Utama (Virdi), pensyarah Perhubungan Antarabangsa di President University, Indonesia: “Pada tahun 1955, kenetralan merupakan satu pernyataan keupayaan diri. Pada tahun 2025, ia berisiko bersekongkol dalam susunan dunia yang terus memihak kepada segelintir pihak yang berkuasa.”
Saya ingin mengembangkan pemikiran Virdi dengan mencadangkan bahawa kedua-dua takrif kenetralan ini—sama ada sebagai autonomi mahupun ketidakberpihakan—masih berisiko untuk bersekongkol dengan susunan dunia yang sedia ada. Ini kerana kedua-dua pendekatan tersebut menerima begitu sahaja takrif tentang apa yang dianggap sebagai urusan “luaran” dan “dalaman”, seolah-olah kategori tersebut bersifat tetap dan tidak perlu dipersoalkan. Andaian bahawa sempadan antara “luaran” dan “dalaman” telah dimuktamadkan membawa implikasi yang besar: ia boleh mengaburkan perjuangan penyahjajahan di rantau ini, dengan mengklasifikasikannya sebagai “ketidakstabilan dalaman” atau “ancaman keselamatan domestik.” Akhirnya, isu-isu ini dikecualikan sepenuhnya daripada sebarang campur tangan atau sokongan oleh kuasa luar.
Di sinilah pentingnya untuk kita kembali kepada semangat Persidangan Bandung dan Gerakan Negara-Negara Berkecuali, kerana kedua-duanya menegaskan bahawa kenetralan bukan sekadar satu pendirian berkecuali, tetapi satu pernyataan keupayaan mandiri yang berteraskan semangat anti-kolonial dan anti-imperial. Dalam konteks sejarah pada waktu itu, sempadan negara-bangsa masih bersifat cair dan terbuka untuk ditafsir semula; pelbagai gagasan sedang diketengahkan tentang bagaimana rupa Asia Tenggara pascakolonial seharusnya dibentuk. Maka, persoalan tentang apa yang dianggap “luaran” atau “dalaman” masih belum dimuktamadkan secara tuntas.
Malah, pembentukan Malaysia sendiri merupakan titik panas dalam wacana serantau pada waktu itu. Partai Rakyat Brunei, di bawah pimpinan A.M. Azahari, merancang untuk menyatukan Brunei, Sabah, dan Sarawak sebagai Kalimantan Utara terlebih dahulu, sebelum diserahkan kepada rakyat untuk menentukan—melalui pengundian demokratik—sama ada mahu menyertai Persekutuan Malaysia seperti yang dicadangkan, dan dengan syarat bagaimana. Diosdado Macapagal, Presiden Filipina ketika itu, pula membawa tuntutan ke atas Borneo Utara (Sabah), atas nama perjuangan anti-penjajahan. Partai Rakyat Malaya di bawah pimpinan Ahmad Boestamam pula membayangkan satu gagasan Melayu Raya yang lebih luas—menggabungkan Indonesia, Kalimantan Utara, Singapura, dan wilayah selatan Thailand secara setara.
Semua perjuangan ini menolak penetapan sempadan pascakolonial yang ditentukan oleh kuasa penjajah atau melalui kerangka imperial. Para pemimpin anti-kolonial ini—yang kebanyakannya turut mengkritik sistem kapitalis—berpendapat bahawa sempadan geopolitik Asia Tenggara pascakolonial harus dibentuk melalui proses demokratik dan berasaskan prinsip hak menentukan nasib sendiri (self-determination), bukannya ditentukan oleh kepentingan ekonomi dan keselamatan kuasa-kuasa kapitalis kolonial. Kerjasama ketenteraan dengan kuasa besar ditolak, apatah lagi kehadiran pangkalan tentera asing yang dibenarkan melalui perjanjian seperti Southeast Asia Treaty Organization (SEATO).
Oleh itu, kenetralan sebagai autonomi—dalam kerangka pemikiran gerakan anti-kolonial—bukan sekadar bermaksud mengelakkan campur tangan kuasa luar secara umum, tetapi secara khusus menolak campur tangan kuasa kolonial dan imperialis. Begitu juga, ketidakberpihakan bukanlah maksud sebenar “non-alignment”. Sebaliknya, Gerakan Negara-Negara Berkecuali merupakan bentuk persekutuan strategik yang secara prinsip berpihak kepada perjuangan pembebasan dan penyahjajahan. Solidariti dengan negara-negara luar (yang dianggap “luaran”), selagi mereka berkongsi prinsip anti-kolonialisme, bukan sahaja tidak ditolak, malah diraikan—sebagaimana yang terbukti dalam Persidangan Bandung dan sidang-sidang kemuncak Gerakan Berkecuali.
Namun, menjelang Pengisytiharan Bangkok pada tahun 1967—yang menubuhkan ASEAN sebagai sebuah kumpulan serantau rasmi dengan keanggotaan awal terdiri daripada Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, dan Thailand—kebanyakan gerakan anti-kolonial radikal di rantau ini telah pun dinyahaktifkan, sebahagiannya dengan bantuan kuasa-kuasa kolonial dan imperialis. Azahari hidup dalam buangan di Indonesia selepas kegagalan pemberontakan Brunei pada tahun 1962. Boestamam pula ditahan pada tahun 1963, sebelum pembentukan Malaysia. Di Singapura, Operasi Coldstore menyaksikan penahanan pemimpin-pemimpin utama gerakan sosialis yang menentang terma dan syarat penggabungan Singapura dengan Tanah Melayu. Sukarno—pemimpin yang paling lantang dalam menentang kolonialisme—telah disingkirkan daripada jawatan Presiden Indonesia susulan kudeta G30S pada tahun 1965, yang sekaligus membuka jalan kepada berakhirnya Konfrontasi Indonesia-Malaysia. Di Filipina, Macapagal pula tewas dalam pilihan raya kepada Ferdinand Marcos.
Apabila ZOPFAN dimeterai pada tahun 1971 oleh wakil-wakil Indonesia (Adam Malik), Malaysia (Abdul Razak), Filipina (Carlos Romulo), Singapura (S. Rajaratnam), dan Thailand (Thanat Khoman), sempadan politik yang didukung oleh kuasa-kuasa kolonial di Asia Tenggara telah pun terbentuk dan mula mengukuh. Walaupun ZOPFAN mengangkat prinsip penentuan nasib sendiri dan tidak campur tangan sebagai teras kenetralannya, ia turut menyeru agar “hal ehwal dalaman” dilindungi daripada “campur tangan luar” demi mempertahankan “kedaulatan dan keutuhan wilayah setiap negara”. Dengan kata lain, kenetralan ASEAN ketika itu telah mengukuhkan batas antara “luaran” dan “dalaman” berdasarkan sempadan negara-bangsa yang mengenepikan visi-visi alternatif Asia Tenggara pascakolonial.
Hari ini, ketika kuasa imperialis Amerika Syarikat mendesak dunia untuk memilih antara menjadi kawan atau lawan demi mempertahankan hegemoninya dalam sistem kapitalis global, adalah amat mustahak bagi ASEAN untuk menghidupkan kembali visi anti-kolonial dan anti-imperial yang diasaskan dalam Persidangan Bandung dan Gerakan Negara-Negara Berkecuali. Di tengah pilihan yang sempit—antara menjadi alat kuasa besar atau berdepan ancaman—ASEAN sememangnya tidak harus memihak. Namun, asas kenetralan ini tidak seharusnya berlandaskan ketidakberpihakan semata-mata, sebaliknya harus berakar pada bentuk autonomi yang sejajar dengan prinsip anti-kolonialisme dan anti-imperialisme.
Walau bagaimanapun, untuk kembali kepada semangat Bandung dan Gerakan Berkecuali menuntut lebih daripada sekadar retorik. Ia menuntut agar ASEAN mengiktiraf gerakan anti-penjajahan di Thailand (Patani), Indonesia (Papua Barat), Filipina (Mindanao), dan Myanmar (pelbagai kumpulan etnik yang memperjuangkan kemerdekaan) sebagai perjuangan yang sah dalam usaha melupuskan warisan kolonialisme yang masih membelenggu rantau ini—bukan semata-mata sebagai masalah “dalaman” yang harus diserahkan sepenuhnya kepada negara anggota untuk diselesaikan secara unilateral.
Kenetralan yang berteraskan prinsip anti-kolonialisme dan anti-imperialisme menuntut agar ASEAN bersikap tegas terhadap keganasan yang disasarkan kepada aktivis yang memperjuangkan kebebasan, penentuan nasib sendiri, dan autonomi. ASEAN tidak boleh lagi berselindung di sebalik prinsip kenetralan untuk menghalalkan sikap membisu dan keengganan bertindak. Dalam semangat yang sama, kenetralan ASEAN tidak wajar dijadikan alasan untuk menghantar pulang seorang pekerja domestik Kemboja dari Malaysia hanya kerana dia mengkritik pemerintahnya di media sosial. Sebaliknya, kenetralan sejati menuntut agar ASEAN membina mekanisme serantau yang mampu mencabar bentuk kolonialisme dalaman dalam sempadan negara-negara anggotanya, di samping mempersoalkan kecenderungan imperialis yang semakin subur dalam kalangan elit negara sendiri.
Di sinilah kemasukan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN membawa satu sinar harapan. Ia merupakan negara pertama dalam ASEAN yang mencapai kemerdekaan daripada sebuah negara anggota lain (Indonesia) sejak penubuhan badan serantau ini. Kemerdekaan yang diperoleh pada tahun 2002—tanpa sokongan yang jelas daripada kerangka kenetralan ASEAN yang berlandaskan ketidakberpihakan—menawarkan banyak pelajaran penting tentang bagaimana solidariti serantau terhadap penyahjajahan seharusnya (dan tidak seharusnya) ditampilkan. Ia juga membuka ruang untuk kita menilai semula bentuk kenetralan ASEAN yang benar-benar dapat menyokong autonomi negara anggota, tanpa menggadaikan prinsip anti-kolonial dan anti-imperial yang menjadi asas kelahiran Asia Tenggara moden.
Dalam masa yang sama, kuasa imperialis Amerika Syarikat terus memperlihatkan wajahnya yang paling rakus—memandang Greenland sebagai sumber mineral strategik masa depan, dan Gaza sebagai peluang pelaburan hartanah yang menguntungkan. Sekutunya, Israel—sebuah pangkalan imperialis di Timur Tengah—sedang giat meluaskan wilayah jajahannya ke Tebing Barat, Syria, dan Lubnan. Scott Bessent, Setiausaha Perbendaharaan AS, malah secara terang-terangan mencadangkan pembahagian dunia ke dalam “bakul-bakul” mengikut tahap kesetiaan kepada kepentingan imperialis AS. Semua ini menunjukkan bahawa kuasa kolonial dan imperialis tidak pernah terikat pada sempadan negara-bangsa yang kononnya muktamad; sebaliknya, mereka akan menyusun semula garis-garis tersebut sesuka hati apabila ia menguntungkan kepentingan mereka sendiri.
Seperti yang ditegaskan oleh Virdi: “Dalam dunia seperti ini, kenetralan bukan sekadar tidak mencukupi—ia berbahaya. Diam ada harganya. Yang tidak bersuara akan disuarakan oleh orang lain. Yang tidak menentukan kepentingan sendiri akan ditentukan oleh orang lain.” Maka, dalam dunia sebegini, mentakrif semula kenetralan ASEAN mengikut semangat Dasasila Bandung bukanlah suatu bentuk nostalgia sejarah atau idealisme kosong. Dalam zaman imperialisme yang begitu terang-terangan dan tidak lagi berselindung, ia merupakan satu keperluan moral dan politik yang tidak boleh dielakkan.




