-
December 27, 2025
-
Dec 27, 2025

Pasar malam lebih daripada sekadar ruang membeli dan bersosial

Dec 27, 2025
-
12:00 pm
-
Register NowEvent Video

Bagi khalayak ramai, pasar malam dianggap sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian masyarakat di Malaysia. Ia menjadi tempat pembeli mencari makanan kegemaran, buah-buahan, sayur-sayuran, barangan keperluan rumah, selain berfungsi sebagai ruang sosial untuk menikmati suasana yang meriah dan riuh. Namun, bagi sesetengah kumpulan masyarakat seperti penjaja dan peniaga kecil, pasar malam membawa makna yang jauh lebih besar daripada itu. Pasar malam merupakan tempat mereka mencari rezeki bagi mengekalkan kelangsungan hidup keluarga. Kajian menunjukkan bahawa penjaja pasar malam ramainya datang daripada komuniti rentan dan berpendapatan rendah. Jadi, sektor ini boleh dikira sebagai talian hayat yang menawarkan peluang pekerjaan kepada individu yang amat memerlukan seperti mereka yang diberhentikan kerja disebabkan krisis ekonomi seperti pandemik Covid-19. Sektor ini juga dilihat sebagai platform bagi mereka yang ingin beralih daripada makan gaji kepada perniagaan atau bekerja sendiri. Selain itu, keperluan modal yang rendah juga menyebabkan sektor ini mudah untuk diceburi dan berfungsi sebagai inkubator praktikal bagi perusahaan mikro dan kecil. Maka, tidak pelik apabila statistik terkini pun menunjukkan bahawa bilangan penjaja dengan lesen pasar malam adalah paling tertinggi berbanding yang lain. Contohnya, di Kuala Lumpur, terdapat seramai 5,502 orang penjaja berlesen pasar malam (32% daripada jumlah penjaja) berbanding penjaja dengan lesen pasar berbangunan (21%), lesen gerai tepi jalan (16%) dan lesen pasar terbuka (15%)1. Dari semasa ke semasa, pasar malam telah menyediakan laluan untuk mobiliti ekonomi dan sosial di mana ia dapat membantu individu membina kebergantungan diri, mengembangkan kemahiran keusahawanan dan meningkatkan taraf hidup mereka secara beransur-ansur. Salah satu aspek untuk lihat pasar malam sebagai laluan untuk mobiliti ekonomi yang lebih tinggi adalah daripada perubahan yang dilakukan oleh peniaga dari tahun ke tahun. Contohnya, kita dapat lihat bahawa semakin ramai peniaga yang tidak hanya menjual sejenis makanan tetapi ada kepelbagaian dalam jualan di setiap pasar malam berdasarkan apa yang trending atau viral. Contohnya, makanan seperti lok lok, ayam gepuk, donut susu, char kuey teow, tanghulu, burnt cheesecake dan sebagainya. Di samping itu, penjualan makanan dan minuman di pasar malam ini didorong oleh perubahan dalam corak permintaan dan perbelanjaan, terutamanya dengan lebih ramai individu bekerja sepenuh masa. Oleh disebabkan gaya hidup yang sibuk dan kepenatan setelah selesai bekerja, golongan bekerja mungkin lebih cenderung untuk makan di luar atau membeli makanan siap dimakan. Dengan itu, sektor pasar malam memainkan peranan yang penting dalam menyokong trend dan gaya hidup tersebut dengan menawarkan pilihan yang mudah dan cepat, berpatutan dan relevan dengan permintaan terkini. Walaupun begitu, sumbangan pasar malam nampaknya tidak begitu ketara di mata orang ramai, terutamanya kepada ekonomi Malaysia kerana skalanya yang kecil dan digolongkan sebagai perusahaan mikro. Statistik juga masih terhad untuk menilai sumbangan pasar malam. Bagaimanapun, pandangan di peringkat akar umbi menunjukkan bahawa sektor ini merupakan institusi tradisional tempatan yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun oleh generasi terdahulu dan ia telah memberi pelbagai manfaat pada generasi-generasi seterusnya.

Tetapi, dapatan menerusi kajian literatur kami yang bertajuk Mengapa Pasar Malam Penting? Sorotan Kajian Lepas diikuti dengan perbincangan lanjut dan juga pemerhatian sendiri menunjukkan bahawa sektor pasar malam terus dibelenggu pelbagai cabaran.

Ini termasuklah:

1) Cuaca yang tidak menentu seperti hujan lebat menyebabkan penjaja tidak boleh berniaga.

2) Projek pembangunan yang menyebabkan penjaja hilang tapak untuk berniaga dan terpaksa berpindah.

3) Kekangan akses pada pasar malam disebabkan oleh lokasi yang terpencil, terutamanya akses kepada pengangkutan awam.

4) Kelemahan dari segi pengawalseliaan khususnya dalam hal pengurusan sisa dan operasi harian.

5) Tanggapan masyarakat tentang kenaikan harga barang di pasar malam.

Hakikatnya, di sebalik keriuhan di pasar malam, terdapat banyak cabaran yang penjaja harus lalui untuk terus mencari rezeki dan kekal stabil, yang tidak disedari oleh orang ramai. Hari-hari mereka biasanya bermula seawal pagi selepas Subuh, dengan aktiviti mendapatkan barang mentah di pasar borong atau mengumpul stok, menguruskan hal-hal isi rumah dan kemudian bergegas ke tapak pasar malam sekitar jam 2 hingga 3 petang untuk memindahkan barang jualan, membuka gerai dan mula berniaga.

Namun, kajian dan fokus mendalam tentang sektor pasar malam masih terhad, sekali gus menyebabkan ramai tidak tahu tentang kepentingannya dari segi ekonomi dan sosial, sejarah dan halangannya. Lebih membimbangkan, data penjaja di peringkat kebangsaan dan negeri juga masih terhad dan tidak menyeluruh bagi tujuan penyelidikan, rujukan dan penambahbaikan. Apabila ditanya sama ada pasar malam akan terus wujud atau kekal relevan dalam 10 tahun akan datang, isu-isu ini yang perlu diketengahkan dan ditangani oleh pihak yang berkaitan.

Catatan penting:
 Perbezaan angka-angka dalam PDF dan pendapat yang diterbitkan oleh media mencerminkan pengemaskinian statistik. Namun, kedua-duanya masih menunjukkan bahawa penjaja pasar malam merupakan kumpulan penjaja berlesen terbesar berbanding yang lain.

related to this event
No items found.

Want more stories like these in your inbox?

Stay ahead with KRI, sign up for research updates, events, and more

Thanks for subscribing. Your first KRI newsletter will arrive soon—filled with fresh insights and research you can trust.

Oops! Something went wrong while submitting the form.
Follow Us On Our Socials